Home

Revitalizing Moisturizer Labisia Pumila



Ejen antipenuaan Kacip Fatimah
Oleh Jami’ah Shukri,  2010/09/30

KHASIAT tumbuhan hutan kacip fatimah atau nama saintifiknya ‘Labisia Pumila’ sudah diketahui begitu berkesan sebagai ubat tradisional untuk mengekalkan sistem reproduksi yang baik wanita sama ada merangsang, memudahkan proses bersalin mahu pun perawatan selepas bersalin.


Malah, hasil kajian juga mendapati kacip fatimah ini boleh merawat penyakit buasir serta mengubati sakit dalam tulang serta meroyan. 

Sebenarnya terlalu banyak khasiat yang boleh dirungkai menerusi pokok liar itu sebagai bahan alternatif dalam bidang perubatan selain untuk tidak terlalu bergantung kepada ubat moden.

Penemuan terbaru khasiat kacip fatimah ialah ia mampu menjadi ejen antipenuaan dan mencerahkan wajah. Penemuan itu terhasil menerusi kajian sekumpulan saintis daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Dongguk Korea Selatan.

Hasilnya, lahirlah produk hasil rumusan daripada kacip fatimah iaitu dengan menggunakan jenama ‘Labicea Revitalizing Moisturizer’ yang mampu melindungi sel kulit daripada kesan kerosakan akibat pendedahan pada sinaran matahari.

Pendedahan berterusan menyebabkan kulit mengalami proses penuaan pramatang atau dikenali sebagai proses foto-penuaan serta mampu meningkatkan sintesis kolagen.

Kacip Fatimah mengurangkan sintesis melanin (untuk pencerahan wajah) serta boleh bertindak sebagai ejen antiradang. Tumbuhan itu juga mengandungi kandungan antioksida yang lebih tinggi, lebih dua kali ganda daripada asid askorbik atau vitamin C.

Pengurus Cawangan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia Kampus Antarabangsa UTM, Prof Madya Dr Azila Abdul Aziz, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Abstrak Kacip Fatimah sebagai ejen antipenuaan’, di UTM, baru-baru ini, losyen pelembap ‘Labicea Revitalizing Moisturize’ itu adalah produk penjagaan kulit yang pertama di dunia menggunakan kacip fatimah sebagai bahan aktif antipenuaan.

Azila berkata, kajian awal mendapati kacip fatimah sangat berpotensi bertindak sebagai ejen antipenuaan.

“Kajian akan diteruskan bagi mengenal pasti komponen kacip fatimah yang bertanggungjawab terhadap antipenuaan.

“Selain itu, kajian lebih menyeluruh terhadap kesan kacip fatimah ke atas kulit manusia juga sedang dijalankan,” katanya.

Azila menambah losen kacip fatimah itu dapat merawat, menambah dan merangsang pertumbuhan tisu pada kulit yang rosak dan kurangan keanjalan akibat penghakisan kolagen.

Apa yang penting, Azila berkata, produk penjagaan kulit berasaskan kacip fatimah ini memberikan satu lagi alternatif kepada masyarakat khususnya wanita mengekalkan kecantikan dan mengurangkan kedutan wajah sebelum melangkaui usia sebenar.

Pengambilan bahan ini juga lebih meyakinkan kerana ia lebih dijamin lebih selamat, halal, menggunakan bahan ramuan asli, tanpa bahan pengawet yang meragukan selain sudah terbukti hasil kajian saintifik serta diuji.